Monday 16 July 2012

AL-ISABAH FI TAMYIZ AL-SAHABAH by AL-HAFIZ IBN HAJAR - part 2

Sambungan kepada entri ini.
    Pada entri yang lepas, telah dinyatakan bahawa al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani membawa pembaharuan ketika menyusun nama serta gelaran para sahabat dalam kitab karangannya. Nama dan gelaran para sahabat diperbaharui susunan mengikut susunan huruf mu'jam. Setiap huruf akan dibahagikan kepada empat bahagian.

Bahagian Pertama:

  •    Dijadikan untuk para sahabat yang mana mempunyai nas-nas yang menunjukkan mereka adalah para sahabat Rasulullah SAW. Sama ada dengan riwayat-riwayat daripada mereka sendiri atau daripada riwayat-riwayat selain mereka.

Bahagian Kedua:
  •    Beliau menjadikan bahagian ini bagi nama-nama yang disebut sebagai anak kepada para sahabat yang dilahirkan pada zaman Nabi SAW, sama ada dari kalangan wanita atau lelaki. Nabi SAW wafat dalam keadaan anak-anak tersebut masih belum sampai kepada umur mumayyiz.

Bahagian Ketiga:
  •    Ibn Hajar menjadikan bahagian ini untuk para perawi yang disebut dalam kitab-kitab sebagai al-Mukhaddramun iaitu golongan yang sempat berada di zaman Jahiliyyah (sebelum kedatangan Islam) dan juga sempat berada di zaman Islam (sampai dan mereka mengetahui tentang Islam). Walaupun begitu golongan ini tidak pernah melihat Nabi SAW, sama ada mereka memeluk Islam ketika Nabi SAW masih hidup atau memeluk Islam selepas kewafatan Nabi SAW. Golongan ini dimasukkan ke dalam tabaqat Tabiin, dan mereka bukanlah sahabat berdasarkan kesepakatan para ulama.

Bahagian Keempat:
  •    Dijadikan sebagai untuk membezakan nama-nama perawi yang disebut di dalam kitab-kitab secara tersilap atau tersalah (disebut sebagai sahabat Nabi SAW, tetapi hakikatnya adalah tidak termasuk di dalam lingkungan para sahabat).

credit to: الْمُيَسَّرُ في عِلْم الرِّجَال oleh SYED ABDUL MAJID GHOURI

Sunday 15 July 2012

AL-ISABAH FI TAMYIZ AL-SAHABAH by AL-HAFIZ IBN HAJAR

Setelah berkongsi mengenai latar belakang serta sebahagian karya Ibn Hajar Al-Asqalani, suka untuk kami berkongsi sedikit maklumat mengenai salah satu kitab karya beliau. Karya yang dimaksudkan adalah Kitab Al-Isabah Fi Tamyiz Al-Sahabah (الإصابة في تمييز الصحابة).
    Kitab ini merupakan kitab yang paling lengkap dan sempurna berkaitan dengan mengenal para sahabat. Pengarangnya Al-Hafiz Ibn Hajar telah pun menyemak dan membaca kitab-kitab yang terdahulu daripadanya serta mengambil faedah daripada keseluruhan kitab-kitab tersebut. Beliau menyusun dan mengemaskan maklumat-maklumat, mengasingkan kesalahan dan kesilapan, menambah maklumat lain yang didapatinya di dalam beberapa turuq hadis dan karya-karya lain seperti al-Kutub Al-Sittah, Tarikh al-Ruwah, al-Siyar, al-Maghazi dan mengeluarkan nama-nama sahabat yang ditinggalkan oleh pengarang-pengarang sebelumnya.
    Ibn Hajar menyusun para sahabat berdasarkan huruf mu'jam dengan susunan yang teliti;

  1. Menyusun nama-nama
  2. Gelaran-gelaran bagi para sahabat
  3. Nama-nama wanita sahabiyat
  4. Gelaran-gelaran wanita sahabiyat
    Beliau juga membawa pembahagian yang baharu bagi setiap nama atau panggilan sebagai tambahan terhadap susunan huruf mu;jam. Setiap huruf akan dibahagikan kepada empat bahagian.


bersambung.... :-)