Saturday 11 August 2012

FATHUL BARI

    Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari adalah kitab penerangan kepada hadits-hadits yang terkumpul dalam Shahih Bukhari. Ia adalah kitab yang paling lengkap dalam syarah hadits sehingga segala hal berkaitan syarah hadits hampir semuanya ada di dalamnya. Oleh itu tidak hairanlah para ulama' mengatakan 'Laa Hijrata Ba'dal Fathi' yang maknanya 'tidak perlu hijrah (beralih kepada kitab lain) selagi mana adanya kitab fathul bari'. Kitab ini juga telah diiktiraf oleh para ulama' sebagai kitab yang kandungannya paling shahih selepas kitab suci Al-Quran.



    Keistimewaan cetakan ini:

  1. Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari cetakan Pustaka Iman Asy-Syafi'i memiliki banyak keistimewaannya. Ia diterbitkan secara utuh dari kitab asalnya yang berbahasa arab, diterjemah dari apa yang ada di dalamnya tanpa mengurang atau menghilangkan sebahagian dari teks arab, baik pada sanad atau matan serta syarahnya.
  2. Disertakan di awal setiap jilid glosari istilah Ilmu Hadis dan ilmu bahasa Arab nahu-sorof, akan memudahkan para pembaca dari golongan awam memahami istilah-istilah Ilmu Hadis dan bahasa Arab yang akan ditemuinya sepanjang pembacaannya dalam kitab ini.
  3. Susunan bahasanya yang sistematik secara harfiyyah, seperti mana susunan bahasa Arabnya. Susunan ini memudahkan para pembaca yang memiliki kitab bahasa Arab membuat rujukan serta menambahkan penguasaan perbendaharaan kata bahasa Arab.
  4. Kitab ini masih dalam proses penterjemahan. Setakat ini telah terbit sehingga jilid keenam merangkumi tema-tema tersebut:
  • Jilid 1: Kitab Wahyu dan Iman
  • Jilid 2: Kitab Ilmu
  • Jilid 3: Kitab Wudhuk
  • Jilid 4: Kitab Mandi, Haid dan Tayamum
  • Jilid 5: Kitab Solat
  • Jilid 6: Kitab Waktu-waktu Solat, Azan
  • Jilid 7: Kitab Azan, Solat Berjemaah dan Imamah
  • Jilid 8: Kitab Azan dan Sifat Solat
  • Jilid 9: Kitab Solat Jumaat, Solat Khauf dan Solat Eid
  • Jilid 10: Kitab Solat Witir, Solat Istisqa', Solat Gerhana, Sujud Tilawah dan Solat Qasar
  • Jilid 11: Kitab Solat Tahajud, Keutamaan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, melakukan perbuatan selain rukun solat, Sujud Sahwi
  • Jilid 12: Kitab Jenazah
  • Jilid 13: Kitab Zakat
  • Jilid 14: Kitab Haji (Bahagian 1)
    Kitab ini dianggarkan akan terbit sekitar 40 jilid lengkap. Ini adalah peluang terbaik kepada para pencinta ilmu untuk mengumpulkan keseluruhan kitab ini secara berperingkat, mengikut terbitannya.

credit ---> sini


Monday 16 July 2012

AL-ISABAH FI TAMYIZ AL-SAHABAH by AL-HAFIZ IBN HAJAR - part 2

Sambungan kepada entri ini.
    Pada entri yang lepas, telah dinyatakan bahawa al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani membawa pembaharuan ketika menyusun nama serta gelaran para sahabat dalam kitab karangannya. Nama dan gelaran para sahabat diperbaharui susunan mengikut susunan huruf mu'jam. Setiap huruf akan dibahagikan kepada empat bahagian.

Bahagian Pertama:

  •    Dijadikan untuk para sahabat yang mana mempunyai nas-nas yang menunjukkan mereka adalah para sahabat Rasulullah SAW. Sama ada dengan riwayat-riwayat daripada mereka sendiri atau daripada riwayat-riwayat selain mereka.

Bahagian Kedua:
  •    Beliau menjadikan bahagian ini bagi nama-nama yang disebut sebagai anak kepada para sahabat yang dilahirkan pada zaman Nabi SAW, sama ada dari kalangan wanita atau lelaki. Nabi SAW wafat dalam keadaan anak-anak tersebut masih belum sampai kepada umur mumayyiz.

Bahagian Ketiga:
  •    Ibn Hajar menjadikan bahagian ini untuk para perawi yang disebut dalam kitab-kitab sebagai al-Mukhaddramun iaitu golongan yang sempat berada di zaman Jahiliyyah (sebelum kedatangan Islam) dan juga sempat berada di zaman Islam (sampai dan mereka mengetahui tentang Islam). Walaupun begitu golongan ini tidak pernah melihat Nabi SAW, sama ada mereka memeluk Islam ketika Nabi SAW masih hidup atau memeluk Islam selepas kewafatan Nabi SAW. Golongan ini dimasukkan ke dalam tabaqat Tabiin, dan mereka bukanlah sahabat berdasarkan kesepakatan para ulama.

Bahagian Keempat:
  •    Dijadikan sebagai untuk membezakan nama-nama perawi yang disebut di dalam kitab-kitab secara tersilap atau tersalah (disebut sebagai sahabat Nabi SAW, tetapi hakikatnya adalah tidak termasuk di dalam lingkungan para sahabat).

credit to: الْمُيَسَّرُ في عِلْم الرِّجَال oleh SYED ABDUL MAJID GHOURI